Menyedari kepentingan pendidikan adalah amat penting bagi generasi masa kini diberikan pendidikan dengan sebaik-baiknya. Pendidikan yang disediakan di sini adalah dari peringkat tabika hinggalah ke peringkat Menengah atas. Bermula dari umur 5 tahun, kanak-kanak di Felda ini telah dihantar ke sekolah tabika untuk diberi asuhan awalan. Di sisni mereka diajar untuk mengenal huruf, membaca dan menulis perkataan dan ayat-ayat ringkas. Kemahiran Matematik turut diajarkan kepada murid-murid supaya mereka dapat menggunakan kemahiran tersebut ketika di sekolah rendah nanti. Selain itu, aspek-aspek kerohanian dan nilai-nilai murni turut diajar dan diserapkan di kalangan murid-murid ini.
Kemudian kanak-kanak ini seterusnya dihantar pula ke sekolah rendah untuk mengikuti kelas-kelas pengajian KBSR. Pada peringkat ini para pelajar akan mengikuti kelas-kelas pengajian secara formal yang meliputi kemahiran-kemahiran tertentu seperti yang telah dirancangkan oleh Pusat Perkembangan Kurikulum. Nilai-nilai moral turut diserapkan ke dalam pelbagai mata pelajaran yang diajar disepanjang pengajaran. Pada tahun 6, para pelajar akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ). Para pelajar di Felda ini juga turut menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam peperiksaan ini.
Para penduduk juga tidak ketinggalan untuk mengikuti pendidikan di tahap menengah rendah dan menengah atas. Malahan sekolah menengahnya ada mengajar mata pelajaran Teknologi Maklumat untuk bergerak seiring dengan kemajuan dan perkembangan negara-negara lain di dunia. Hasil daripada pendidikan yang diberikan, ramai anak-anak penduduk di sini yang telah melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti baik di dalam dan luar negara. Tidak ketinggalan juga yang menjawat jawatan-jawatan besar dalam kerajaan.
Terdapat beberapa buah sekolah di Besout iaitu sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah tadika dan sekolah agama rakyat.